LATAR BELAKANG KOSASS

 

 

Pada 15 Februari 1982, satu lagi detik bersejarah bagi Universiti Pertanian Malaysia (nama lama bagi Universiti Putra Malaysia) telah berlaku apabila mercu tanda pembukaan Kolej Kediaman Ke-7 (KK7) telah didirikan dengan tertanamnya tiang seri Kolej Kediaman Ke-7 (KK7). Tujuan asal penubuhan kolej ini adalah untuk penempatan Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UPM. Urusan pentadbiran kolej ini telah dimulakan secara rasmi pada 8 Mac 1982 tepat pada jam 8.00 pagi. Pada 2 Julai 1983, kolej ini menerima pendaftaran kemasukan pelajar baharu yang berjumlah 650 orang. Kolej Kediaman Ke-7 (KK7) telah dirasmikan pada 4 Oktober 1983 oleh Y. Bhg. Dato’ Mohd. Noor Bin Ismail selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan Universiti Pertanian Malaysia pada masa itu.

Terdapat enam buah bangunan yang merangkumi sebuah bangunan pentadbiran dan lima blok penempatan di Kolej Kediaman Ke-7 (KK7). Blok-blok kediaman Kolej Kediaman Ke-7 telah dinamakan dengan nama haiwan-haiwan yang terdapat di hutan rimba. Blok-blok tersebut adalah Blok *Rusa yang melambangkan keindahan, Blok *Kijang melambangkan kepantasan, Blok *Seladang melambangkan kegagahan, Blok *Napuh melambangkan kelembutan, dan Blok *Pelanduk melambangkan kepintaran.

 *sumber dari Wikipedia.

 

PERTUKARAN NAMA KOLEJ

 

Pada tanggal 25 April 1996 bersamaan 7 Zulhijjah 1416 hijrah, secara rasminya nama Kolej Kediaman Ke-7 (KK7) telah bertukar menjadi Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS). Majlis perasmian ini telah dilaksanakan oleh cucunda baginda iaitu DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Nama Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dipilih berdasarkan jasa dan sumbangan baginda kepada Universiti Pertanian Malaysia dalam melahirkan insan-insan yang berwibawa dalam membangunkan negara. Tambahan pula, baginda merupakan perasmi Sekolah Pertanian Malaya, iaitu nama asal Universiti Pertanian Malaysia. Gabungan sejarah lalu dan kecemerlangan warga kolej telah menjadikan KOSASS sebagai salah sebuah kolej terbaik di Universiti Putra Malaysia.

 

PENGGABUNGAN KOLEJ

 

Universiti Putra Malaysia telah menstrukturkan semula organisasi Kolej Kediaman Universiti dan telah menggabungkan Kolej Kedua dan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah menjadi satu entiti bermula pada 15 Jun  2019. Ia merupakan hasil Pelan Transformasi Governan Entiti di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) 

-->Lawati Facebook Page kami.