GREETINGS FROM PRINCIPAL

 

 

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T, dengan izinNya Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) telah melahirkan ramai graduan yang hebat dan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara.


Alhamdulillah, aktiviti dan program pembangunan pelajar melalui pendekatan pembangunan belia positif (PYD) yang berpusatkan pelajar KOSASS telah dapat direalisasikan dengan adanya para penghuni yang cergas, berwibawa serta kerjasama mantap di antara pihak pengurusan kolej, Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) serta pemegangtaruh dalam dan luar UPM.

Selain itu, pentadbiran kolej yang diterajui oleh Pengetua, Pegawai Tadbir, Staf dan Felo akan sentiasa komited dalam memastikan segala infrastruktur dan persekitaran dalam keadaan yang kondusif dan mesra penghuni. Ini merupakan sebahagian daripada pemangkin supaya penghuni khususnya pelajar KOSASS akan mencapai kejayaan yang cemerlang samada dalam bidang akademik dan sahsiah. Konsep Keserakanan Belia-Dewasa (Youth-Adult Partnership) antara pelajar dan pihak pengurusan menjadikan usaha bimbingan dan penasihatan akan menjadi lebih berkesan dan meninggalkan pengalaman berharga kepada pelajar dalam melahirkan watak graduan yang berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

Faktor ini adalah sesuai dan selari dengan motto kolej ini, "Pintar, Harmoni, Cemerlang" yang direalisasikan melalui #PYD4KOSASS #5C. Lantaran itu sudah pasti KOSASS akan menjadi entiti dalam melahirkan para professional yang bertahap tinggi dan akan sentiasa menyumbang universiti, masyarakat dan negara, seperti yang digarap melalui Pelan Strategik UPM dan kerangka 'True North' UPM oleh YBhg. Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan bin Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM.


Akhir kata, saya berharap agar pelajar KOSASS bijak mengimbangi keperluan akademik, kokurikulum, sahsiah dan tanggungjawab terhadap kolej. Usaha dalam meningkatkan kecemerlangan diri dan tahap professionalisme perlu diligatkan untuk memastikan KOSASS menjadi pusat penyemai nilai-nilai murni dan simbol kecemerlangan ilmu serta kemahiran insaniah selaras dengan falsafah Universiti Putra Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan aspirasi negara.

 

"BERILMU BERBAKTI"

 

Yang Berusaha,

Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad
Pengetua
Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS)
Universiti Putra Malaysia